Jenis Karangan:
Keperihalan
Soalan:
Pada musim
buah-buahan yang lalu, satu pameran ”Makan Buah-buahan Tempatan” telah
diadakan.
Ceritakan kebaikan
pameran tersebut.
Pada musim buah-buahan yang lalu, iaitu pada bulan Disember,
telah diadakan satu pameran buah-buahan di Teluk Intan. Pameran ini dianjurkan
oleh Jabatan Pertanian Daerah Hilir Perak dengan kerjasama para penduduk
tempatan yang mengambil bahagian. Pameran tersebut telah berjaya menarik minat
orang ramai untuk hadir ke pameran tersebut. Pameran tersebut dapat memberikan
banyak faedah kepada orang ramai.
Antara kebaikan pameran buah-buahan tempatan ialah dapat
memberikan peluang kepada orang ramai
mengenali pelbagai spesies buah-buahan tempatan yang terdapat di negara ini. Ini
akan dapat memberikan pengetahuan kepada generasi muda akan pelbagai jenis
buah-buahan yang terdapat di negara kita.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang
menikmati kelazatan dan keenakan buah-buahan tempatan yang turut disediakan dan
ada yang dijual. Hal ini berlaku kerana kebanyakan buah-buahan tidak terdapat
di semua tempat. Sekiranya ada pun, mungkin berbeza dari segi rasa dan keenakan
buahnya. Oleh itu, pengunjung yang hadir ke pameran tersebut dapat menikmati
kelazatan buah-buahan kegemaran mereka.
Disamping itu, orang ramai juga
didedahkan dengan khasiat dan vitamin yang terdapat dalam buah-buahan tempatan,
malah ada yang lebih kaya khasiatnya daripada buah-buahan import. Ini adalah
kerana tidak semua masyarakat mengetahui akan kelebihan yang terdapat pada
buah-buahan tempatan. Sebagai contohnya, golongan generasi muda kini lebih
gemar memakan buah-buahan dari luar negara.
Seterusnya, pengunjung juga dapat
melihat hasil produk yang dibuat daripada buah-buahan tempatan seperti jem,
jus, kek, dan kuih-muih. Secara tidak langsung akan dapat memberikan keuntungan
dan ruang promosi kepada industri kecil dalam penghasilan bahan-bahan keluaran
seperti ini. Ianya juga akan
dapat memantapkan penghasilan barangan produk ini di dalam negara.
Kesimpulannya, pameran sebegini memberikan peluang kepada
pengunjung melihat keistimewaan dan kelebihan produk dan hasil keluaran
tempatan. Pameran sebegini sewajarnya dianjurkan dan dijadikan sebagai aktiviti
tahunan. Sesungguhnya, pameran ’Makan Buah-buahan Tempatan ’ dapat memberikan
pengalaman dan pendedahan yang amat bermakna kepada masyarakat.
Jenis Karangan :
Laporan
Soalan :

Kelab Komputer
SMK Seri Mulia
Pengerusi : Mohamad
Redzuan Zaini
Setiausaha : Ain
Najihah Ahmad
Bendahari : Nur
Shahirah Ramlan
Sebagai setiausaha kelab tersebut, anda diminta untuk menyediakan laporan
aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.
Tulis laporan itu selengkapnya.
Laporan Aktiviti
Kelab Komputer SMK Seri Mulia
Kelab
Komputer SMK Seri Mulia telah menganjurkan beberapa aktiviti sepanjang tahun
2011. Aktiviti yang dianjurkan oleh
kelab ini adalah bertujuan untuk membimbing dan memberikan pengalaman kepada
ahli kelab dan pelajar-pelajar yang lain akan kelebihan mendalami bidang
perkomputeran.
Antara
aktiviti yang telah diajalankan ialah Kelab Komputer SMK Seri Mulia telah
mengadakan kelas komputer untuk pelajar-pelajar yang berminat untuk mendalami
ilmu dalam bidang teknologi maklumat. Pelajar yang berminat dikenakan bayaran yuran sebanyak RM30 sebulan. Seramai
50 orang pelajar telah menyertai program ini.
Selain itu, Kelab Komputer SMK Seri Mulia telah menganjurkan
pertandingan mereka cipta laman web sempena Hari Kebangsaan bersama-sama
Persatuan Sejarah dan Geografi. Pertandingan ini telah berjaya mencungkil
kreativiti para pelajar.Hadiah telah disampaikan kepada para pemenang iaitu
tempat pertama hingga tempat kelima.
Di
samping itu, empat orang wakil Kelab Komputer SMK Seri Mulia telah menyertai
kursus penggunaan internet yang diadakan di Jabatan Pelajaran Negeri. Mereka
telah menghadiri kursus tersebut selama lima hari. Pendedahan pelajar kepada
penggunaan yang internet yang betul akan dapat memberikan ilmu kepada pelajar
akan kepentingan menggunakan internet secara berkesan.
Seterusnya,
Kelab Komputer SMK Seri Mulia juga telah mengadakan lawatan sambil belajar ke
Putrajaya dan Cyberjaya pada cuti penggal yang pertama. Seramai 44 orang
pelajar telah menyertai program ini. Lawatan ini telah memberikan suatu
pengalaman yang berharga kepada para peserta.
Akhir sekali, Kelab Komputer SMK Seri Mulia ingin mengucapkan jutaan
terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya guru penasihat dan
para pelajar yang berusaha menjayakan semua aktiviti kelab sepanjang tahun.
Adalah diharapkan program-program yang telah dijalankan akan dapat memberikan
faedah kepada pelajar.
Laporan disediakan oleh,
AIn
(AIN NAJIHAH AHMAD ) 27
JANUARI 2012
Setiausaha,
Kelab Komputer,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mulia.
Jenis Karangan :
Cereka
Soalan :

Terang bulan di
malam sepi,
Cahaya memancar ke pohon kelapa;
Hidup di
dunia buatlah bakti,
Kepada saudara
ibu dan bapa.
Tulis sebuah
karangan berdasarkan maksud pantun di atas.
Di sebuah kampung
nelayan terdapat sebuah keluarga yang hidup dalam serba kekurangan. Keluarga
tersebut terdiri daripada lima ahli keluarga. Ayah Hakim bekerja sebagai
nelayan. Manakala ibunya pula tidak bekerja. Hakim dan dua orang adiknya dibesarkan
dalam keluarga yang susah..
Walaupun hidup dalam serba kekurangan,
namun tiga orang adik-beradik ini mempunyai tingkah laku yang baik. Masyarakat
di sekitar perkampungan nelayan tersebut amat senang hati dengan keluarga
tersebut. Hakim merupakan seorang remaja yang pandai membawa diri dan tidak
pernah membantah kata-kata ibu bapanya.
Demi memperjuangkan nasib keluarganya,
Hakim mempunyai azam dan tekad untuk membawa keluarganya jauh daripada hidup
kemiskinan lagi. Oleh itu, dia belajar bersungguh-sungguh dan rajin membantu
kedua ibu bapanya. Ketekunan Hakim akhirnya membuahkan hasil apabila dia berjaya
dalam peperiksaan SPM dan diterima melanjutkan pelajarannya ke universiti.
Keluarga Hakim merasa sangat gembira dengan kejayaan yang diperoleh oleh Hakim.
Sebaik habis belajar, Hakim bekerja
sebagai jurutera di bandar dan berhasrat membalas jasa ibu bapanya. Dia bekerja
dengan tekun dan disukai oleh majikannya. Di samping itu, dia tidak pernah
jemu-jemu memberi dorongan dan bantuan kepada adik-adiknya untuk berjaya dalam
pelajaran. Dia berusaha menyediakan segala keperluan pelajaran yang diperlukan
oleh mereka demi memastikan kejayaan juga menjadi milik mereka.
Berkat ketekunan dan bantuan daripada
Hakim, adik-adiknya juga berjaya dalam pelajaran dan menyambung pelajaran di
luar negara. Semua perbelanjaan mereka ditanggung oleh Hakim dengan rasa
bangga. Hakim membawa kedua-dua ibu
bapanya tinggal bersama-samanya di bandar dan berusaha membahagiakan mereka.
Hasrat dan cita-cita Hakim untuk membuang kemiskinan daripada hidup mereka
telah membuahkan hasil.
Jenis Karangan :
Pendapat
Soalan :
Masyarakat mempunyai peranan penting
menangani pelbagai gejala negatif dalam kalangan masyarakat.
Berikan pendapat
anda
Dewasa kini, kita sering mendengar dan
melihat akan gejala sosial yang kian berleluasa dalam negara kita. Sebagai anggota
masyarakat, kita tidak seharusnya menuding jari akan perkara ini kepada
mana-mana pihak. Semua pihak seharusnya mengambil peranan dalam mengatasi
masalah ini. Masyarakat ada peranan masing-masing untuk menangani gejala sosial
yang sering berlaku di kalangan masyarakat.
Bagi mengatasi gejala negatif dalam
masyarakat, peranan keluarga adalah amat penting sekali. Keluarga perlu
mengawasi anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan gejala negatif seperti
menagih dadah, bergaul bebas, dan sebagainya. Kedua-dua ibu bapa mestilah
sentiasa memantau pergerakan anak-anak supaya mereka tidak diberikan kebebasan
yang melampau.
Seterusnya, pihak sekolah boleh
mengenakan hukuman yang setimpal ke atas pelajar yang didapati terlibat
melakukan gejala negatif untuk membendung masalah ini. Pihak sekolah perlu
mengenakan tindakan disiplin yang setimpal sekiranya pelajar terlibat dengan
masalah ini. Melalui cara ini, pelajar akan merasa takut untuk melakukan
perkara-perkara yang tidak baik.
Di samping itu, pihak polis harus
bertanggunjawab ketika melaksanakan amanah yang diberikan dengan membuat
kawalan dan menangkap mereka yang bersalah tanpa rasa pilih kasih. Peranan
mereka perlu dijalankan bagi memantapkan lagi kawalan terhadap pelajar yang sering
ponteng sekolah dengan melepak di pasaraya dan pusat-pusat hiburan.
Masyarakat setempat juga perlu
prihatin dan menjadi pemerhati yang baik jika ada gejala negatif yang berlaku
di kawasan tempat tinggal mereka. Sekiranya ternampak akan perlakuan yang tidak
baik dilakukan oleh para remaja, masyarakat perlu mengambil tindakan yang
segera dengan melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan.
Konklusinya, gejala negatif dalam
kalangan masyarakat dapat diatasi jika masyarakat memainkan peranan mereka
secara aktif. Semua pihak harus memikul tanggungjawab ini secara bersama demi
melahirkan ahli masyarakat yang baik.
Jenis Karangan :
Pendapat
Soalan :
Anda telah berpeluang mengikuti
’Program Kecemerlangan PMR ’ anjuran pihak sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda
peroleh daripada program tersebut.
Pada
bulan Januari yang lalu, pihak sekolah telah mengadakan suatu program kepada
semua pelajar Tingkatan 3. Program tersebut merupakan ”Program kecemerlangan PMR” khusus untuk
pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki peperiksaan PMR. Banyak faedah
yang kami dapati apabila menyertai program ini.
Antara faedahnya ialah kami dapat menimba
ilmu yang berguna tentang beberapa aspek pengetahuan yang berkaitan dengan
pelajaran, tetapi tidak diajar di sekolah. Semua fasilitator program tersebut
memberikan pendedahan yang amat berguna kepada kami untuk bersedia menghadapi
PMR yang bakal menjelma.
Seterusnya, kami didedahkan tentang
teknik belajar yang berkesan untuk memudahkan otak menerima dan mengingat
pelajaran yang dipelajari. Melalui teknik yang diajar, kami dapat menyediakan
diri dengan mengulangkaji pelajaran secara sistematik dan terancang. Ini akan
lebih memberikan manfaat.
Dalam program ini juga, kami diajar
untuk membuat pengurusan masa yang berkesan bagi menyusun jadual pembelajaran
yang sistematik. Melalui penyusunan jadual belajar, kami dapat membuat
ulangkaji secara konsisten dan lebih mudah mempelajari dan memahami sesuatu
pelajaran.
Selanjutnya, kami juga diberikan
motivasi dan kami semakin bersemangat untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang
dalam peperiksaan PMR kelak. Kami diberikan suatu daya dan semangat yang baru
demi menghasilkan kejayaan yang cemerlang dalam PMR nanti.
Kesimpulannya, program ini memang
banyak memberi manfaat kepada pelajar dan membentuk suatu semangat baru dalam
diri setiap pelajar. Program sebegini perlu terus diadakan pada setiap tahun
untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan yang bakal mereka
hadapi.
Jenis Karangan :
Surat tidak rasmi
Soalan :
Berikut ialah petikan surat yang anda terima
daripada seorang rakan.

”........Tahniah
saya ucapkan kerana awak telah memenangi beberapa pingat emas dalam kejohanan
sukan tahunan sekolah. Saya berminat untuk mengetahui usaha-usaha yang telah
awak lakukan sehingga mencapai kejayaan tersebut....”
Berdasarkan petikan di atas, balas surat rakan anda itu.
No. 10, Jalan Sekolah,
Kg. Soeharto,
44010
Kuala Kubu Bharu,
Selangor.
27 Januari 2012
Kehadapan
Taufik yang berada di Kg. Soeharto
dengan selamatnya.
Saudara,
Ketika saya menulis surat ini, saya dalam
keadaan sihat.Diharap saudara juga dilimpahi kesihatan dan kegembiraan yang
berpanjangan. Surat daripada saudara telah saya terima minggu lepas dan saya
ucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas ucapan tahniah saudara itu.
Untuk pengetahuan saudara, kejayaan yang saya peroleh tersebut tidak
datang bergolek, sebaliknya disertai usaha yang bersungguh-sungguh dan azam
untuk mencapai kejayaan yang tidak pernah padam. Saya telah menanamkan satu
azam untuk berjuang bersungguh-sungguh untuk mengecap kejayaan ini.
Antara usaha yang telah saya lakukan ialah saya telah turun ke padang
berlatih pada setiap petang sebaik sahaja selesai menyiapkan kerja sekolah dan
mengulang kaji pelajaran. Saya lakukan latihan pada setiap petang bagi
memantapkan stamina saya. Latihan ini amat penting, dan terbukti ia telah
membuahkan hasil.
Seterusnya, saya juga akan mendapatkan nasihat daripada guru sukan di
sekolah saya untuk mengetahui teknik latihan yang berkesan untuk meningkatkan
keupayaan saya sebagai atlet. Segala nasihat dan bimbingan yang diberikan oleh
mereka saya jadikan pegangan untuk berjaya.
Di samping itu, saya turut menjaga diet atau pemakanan saya supaya
makanan yang saya makan dapat memberikan tenaga yang diperlukan ketika saya
mengadakan latihan. Sepanjang latihan yang saya jalankan, saya sentiasa menjaga
pemakanan saya dengan dibantu oleh kedua ibu bapa saya. Mereka juga amat mengambil berat akan latihan dan
penjagaan pemakanan yang saya ambil.
Saudara,
Setiap kejayaan yang kita idami perlu disertai
kesungguhan dan azam yang tinggi agar menjadi kenyataan. Semoga segala yang
saya nyatakan ini akan dapat memberikan semangat dan perkongsian kepada diri
saudara untuk mencapai kejayaan.
Bak kata pepatah, ”Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak
akan datang melayang ”. Hingga di sini
dahulu surat saya untuk kali ini. Ada kesempatan, saya akan menulis lagi.
Sekian, terima kasih.
Daripada rakanmu,
Azim
( Abdul Azim Bin Abd Halim )
Jenis Karangan :
Cereka
Soalan :
”Kamal tersedar
daripada pengsan. Perlahan-lahan Kamal membuka mata. Terlihat ibunya
sedang duduk di sisi sambil memegang tangannya. Mata ibunya berkaca. Kamal
tidak dapat menahan sebak di dada lantas memeluk ibunya sambil menangis. Dalam
hatinya, dia berjanji bahawa pisang tidak akan berbuah dua kali.”
Tulis sebuah cerita yang berakhir
dengan perenggan di atas.
Kamal merupakan seorang pelajar yang nakal dan sering melanggar
perintah ibu bapanya. Dia sering ponteng sekolah dan melepak bersama-sama rakan
yang lebih besar daripadanya. Semuanya ini dilakukan tanpa diketahui oleh kedua
ibu bapanya. Ini adalah kerana setiap pagi, Kamal akan pergi ke sekolah seperti
biasa tetapi dia tidak terus ke sekolah. Sebaliknya, dia pergi ke tempat lain.
Oleh kerana jarak daripada rumah dan
sekolahnya agak jauh, bapa Kamal membelikannya motosikal bagimemudahkannya
pergi dan balik daripada sekolah. Namun begitu, peluang ini digunakan oleh
Kamal untuk pergi melepak bersama rakan-rakanya. Mulai dari hari itu, dia
melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang pelajar.Dia bertambah kerap tidak
hadir ke sekolah.
Pada suatu malam, Kamal hendak
keluar dari rumah kerana telah berjanji untuk bertemu dengan rakan-rakannya.
Namun, ibunya melarangnya keluar kerana malam sudah lewat. Lagipun, cuaca pada
malam tersebut tidak berapa baik. Angin bertiup dengan kuat dan guruh telah
kedengaran di langit. Ibunya risau sekiranya akan berlaku perkara yang tidak
baik kepada Kamal.
Namun, Kamal degil dan tidak
mengendahkan larangan ibunya. Kamal melangkah juga tanpa menghiraukan larangan
ibunya. Kamal ingin memenuhi ajakan rakan-rakannya untuk menyertai aktiviti
lumba haram yang diadakan di bandar. Dia ingin memenangi hadiah yang telah
dijanjikan oleh rakan-rakanya.
Ketika berlumba, Kamal berasa sangat seronok berlumba di atas jalan
raya. Namun, dia tidak sedar dia telah memecut hingga 160 km/j tanpa memikirkan
bahaya yang mengundang dirinya. Secara tiba-tiba, sebuah kereta muncul di
simpang di hadapannya dengan laju. Kereta tersebut tidak dapat mengelak
daripada melanggar motosikal Kamal. Maka, suatu dentuman yang kuat telah
kedengaran. Kamal tidak tahu apa yang berlaku selepas itu.
Apabila Kamal tersedar, dia mendapati
dirinya berada di atas katil hospital. Kamal tersedar daripada pengsan. Perlahan-lahan Kamal membuka mata.
Terlihat ibunya sedang duduk di sisi sambil memegang tangannya. Mata ibunya
berkaca. Kamal tidak dapat menahan sebak di dada lantas memeluk ibunya sambil
menangis. Dalam hatinya, dia berjanji bahawa pisang tidak akan berbuah dua
kali.”
Jenis Karangan :
Pendapat
Soalan :
Perkembangan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi ( ICT ) mempercepat kemajuan negara.
Bersetujukah
anda dengan pernyataan tersebut ? Berikan hujah-hujah anda.
Saya amat bersetuju dengan tajuk di atas, bahawa
perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) mempercepat kemajuan
negara. Banyak kelebihan dan manfaat yang diperolehi daripada perkembangan
teknologi ini dalam era zaman moden ini. Semua kecanggihan dan kemudahan yang
didapati telah memberikan suatu ruang kehidupan yang amat menyenangkan.
Dunia hari ini menyaksikan perkembangan
Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT) yang semakin pesat. Pelbagai kemudahan
dan peralatan yang dicipta bagi memenuhi kehendak pasaran pengguna. Kini, orang
ramai boleh melakukan urus niaga dan perbankan dalam talian. Ini telah dapat
menjimatkan masa dan amat memudahkan sebarang urusan yang dilakukan.
Selain itu, perhubungan komunikasi
dengan rakyat yang berada di seluruh pelosok negara dapat dihubungi dengan
mudah dengan adanya pelbagai kemudahan seperti telefon, telefon bimbit, dan internet.
Segala berita dan perkara penting yang hendak disampaikan dapat diberitahu atau
dimaklumkan dengan segera. Ia amat berbeza sekali dengan penggunaan surat yang
dilakukan pada suatu ketika dahulu.
Seterusnya, pelajar yang mahir menggunakan Teknologi Maklumat dan
Komunikasi(ICT) akan dapat menerokai ilmu yang terdapat di seluruh dunia di
hujung jari menerusi kemudahan internet. Segala bahan pembelajaran yang
diperlukan dapat diperolehi dengan mudah melalui internet. Semua ini akan dapat
memberikan suatu hasil kerja yang lebih mantap.
Di samping itu, sistem pendidikan
pula akan menjadi lebih mudah dilakukan dengan hanya melaksanakan Pendidikan
Jarak Jauh (PJJ) tanpa perlu bergerak jauh dari bandar tempat tinggal seseorang
pelajar. Ini akan dapat memberikan peluang kepada lebih ramai orang yang hendak
belajar tanpa mengira usia.
Kesimpulannya, dengan adanya
Teknologi Maklumat dan Komunikasi(ICT), negara akan berkembang maju dengan
lebih pesat disebabkan pelbagai kemudahan yang terdapat pada teknologi
tersebut.
Jenis Karangan :
Pendapat
Soalan :
Anda telah menyertai suatu
perkhemahan unit beruniform pada hujung minggu. Dalam perkhemahan itu terdapat
beberapa kelemahan yang perlu diatasi.
Cadangkan langkah-langkah yang
boleh diambil untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut.
Satu perkhemahan unit beruniform
telah diadakan selama seminggu di Hutan Sungai Congkak, Hulu Langat. Perkhemahan
ini disertai oleh beberapa unit uniform dari Sekolah Menengah Ulu Bernam. Terdapat
beberapa kelemahan yang perlu dibaiki untuk manfaat pada masa akan datang.
Langkah yang perlu diambil untuk
mengatasi kelemahan adalah seperti lokasi perkhemahan yang berdekatan dengan
rumah penduduk di situ. Aktiviti perkhemahan akan mengganggu ketenteraman
penduduk. Malah, para peserta terdedah dengan masalah remaja yang berdekatan.
Seterusnya, masa yang diambil
untuk perkhemahan terlalu lama. Rata-rata pelajar mula teringatkan rumah
masing-masing. Sesetengahnya kurang berminat menyertai sebarang aktiviti yang
diadakan untuk aktiviti perkhemahan.Sepatutnya, perkhemahan tersebut dilakukan
tidak melebihi selama tiga hari. Ini akan memberikan kesan yang baik kepada
para peserta.
Selain itu, makanan para peserta disediakan oleh
pihak penganjur. Disebabkan ini, peserta kurang terdedah dengan pengalaman
memasak sendiri. Sepatutnya, peserta perlu didedahkan dengan pengalaman memasak
sendiri agar masa dapat diuruskan dengan betul. Kemahiran ini juga perlu
didedahkan kepada pelajar supaya mereka mengetahui untuk menyediakan makanan
secara sendiri.
Akhir sekali, peserta juga
dibenarkan menggunakan telefon bimbit keika berkhemah. Banyak aktiviti
terganggu kerana bunyi deringan telefon. Sepatutnya, sebarang alat komunikasi
disimpan oleh pihak urus setia. Adalah menjadi lebih baik sekiranya tiada
gangguan daripada orang lain melalui telefon bimbit supaya peserta memberikan
perhatian sepenuhnya kepada aktiviti perkhemahan.
Semoga sebarang langkah yang dicadangkan mampu
untuk mengatasi kelemahan yang terdapat dalam perkhemahan yang telah diadakan. Sekiranya
ada sebarang aktiviti yang sama pada masa akan datang, perkara-perkara yang
telah dinyatakan di atas, perlulah diambil kira untuk menjayakan aktiviti
perkhemahan.
Jenis Karangan :
Perbincangan
Soalan :
Keluarga
memainkan peranan yang penting dalam membentuk keperibadian mulia anak-anak.
Bincangkan
Insitusi
keluarga merupakan satu organisasi yang penting dalam membentuk dan mendidik
keperibadian anak-anak. Sejak kecil lagi ibu bapalah yang mampu mencorakkan
perlakuan anak-anak sama ada baik dan buruk.
Kanak-kanak sejak kecil diajar oleh ibu bapa untuk bertutur, bertingkah
laku, dan bergaul dengan orang ramai. Segala perlakuan baik dan buruk akan
ditiru dan kekal dalam ingatan mereka. Sikap kasar dan pertuturan yang tidak
elok patut dihindari dalam kalangan suami isteri. Anak-anak mereka akan
menganggap itulah budaya sebenar apabila berada di khalayak nanti.
Disamping itu juga, ibu bapa memainkan peranan yang penting
bagi membentuk remaja berakhlak mulia. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah
memberikan perhatian yang lebih kepada anak-anak mereka yang sedang membesar.
Betapa sibuk pun, namun masa yang berkualiti hendaklah diberikan kepada
anak-anak.
Selain itu, ibu bapa hendaklah memberikan penekanan yang lebih
terhadap pendidikan anak-anak. Sebaik-baiknya, belikanlah anak-anak buku
rujukan, menghantar anak ke kelas tambahan, dan memberikan pendidikan agama
yang mencukupi. Jika ibu bapa menjadikan diri mereka seorang yang beragama dan
bermoral, sudah pasti tiada masalah untuk menerapkan nilai tersebut dalam diri
anak-anak kerana teladan berada di hadapan mereka.
Ibu bapa juga wajar selalu berjumpa dengan guru –guru di sekolah untuk
berbincang tentang tatasusila anak-anak mereka. Sesetengah anak bersikap pijak
semut pun tidak mati di hadapan ibu bapa mereka. Melalui perjumpaan dengan
guru-guru, ibu bapa akan dapat mengetahui perkembangan diri anak-anak mereka.
Konklusinya, sikap ibu bapa penting dalam mendidik dan membentuk
keperibadian anak-anak kerana ibu bapa ialah individu yang paling hampir dan
mempunyai masa yang banyak dengan anak-anak.
Jenis Karangan :
Peribahasa
Soalan :
Peribahasa, di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung, membawa maksud kita mesti menurut
perintah dan mematuhi peraturan di sesuatu tempat yang kita diami.
Jelaskan
pendapat anda tentang pernyataan di atas.
Masyarakat dahulu sememangnya kaya dengan
pelbagai gaya bahasa sebagai salah satu memperkenalkan kesenian dan kesantunan
berbahasa. Peribahasa ”di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”
memberikan makna tersirat yang cukup mendalam, terutama bagi seseorang yang
berada di tempat asing.
Masyarakat dahulu suka berhijrah untuk mencari
untung nasib mereka bagi mengubah keadaan yang sedia ada. Mereka perlu bergaul
mesra untuk mendapat tempat dalam lingkungan masyarakat setempat. Oleh kerana
itu, mereka perlu menjaga tatasusila diri agar dapat diterima oleh sesuatu
masyarakat.
Peribahasa ini mengajar manusia agar jangan bersikap sombong dan bangga
diri dengan kelebihan yang dimiliki , terutama berada di tempat orang kerana
kita akan dibenci oleh penduduk setempat dan disisih. Kita perlu sentiasa
merendah diri dan menjaga keperibadian agar sentiasa disenangi oleh orang lain.
Selain
itu, tidak mudah untuk kita mematuhi peraturan yang tidak biasa dengan kita.
Bagi penduduk asing, terutama pendatang dari negara luar perlu menghormati
budaya Malaysia. Mereka haruslah tidak membawa masuk budaya dan tatacara negara
mereka yang berlainan dengan negara ini. Semua ini perlu dilakukan demi
kesejahteraan dan menghormati adat dan budaya orang lain.
Seterusnya,
manusia yang baik perlu juga mengamalkan ”yang baik dijadikan teladan, yang
buruk dijadikan sempadan” agar tidak terpengaruh dengan budaya setempat,
terutama yang bertentangan dengan nilai ketimuran dan akhlak agama. Kita
digalakkan mengikuti peraturan dan perintah sesuatu masyarakat selagi ianya
tidak bercanggah dengan hukum agama kita.
Konklusinya, peribahasa ini perlu menjadi amalan dalam hidup agar sikap
bongkak dan meninggikan diri tidak dijadikan amalan hidup kita, terutama ketika
kita berada di tempat orang. Kita seharusnya memegang peribahasa ini walau di
mana kita berada supaya dapat diterima dengan baik oleh sesuatu masyarakat yang
baru dalam kehidupan kita.
terbaik
ReplyDeleteteruskan menambah baik blog ini .BAGUS :D
ReplyDelete